Sorting by

×

GADIS BERBUSANA KLASIK BAWA SEMANGAT JIWA MERDEKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 31 Ogos – Memakai busana klasik yang diinspirasi daripada zaman nenek moyang zaman dahulu membuatkan empat gadis ini kelihatan paling menonjol di Persiaran Jalan Merdeka, di sini.

Mereka merupakan antara puluhan ribu pengunjung yang memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka, hari ini.

Menurut Nuralisa Ilyana Mohd Azhar, 19, sebaik mengetahui Melaka bakal menganjurkan sambutan penuh meriah, mereka cukup teruja dan merancang untuk mencipta sedikit kelainan berbanding dengan memperagakan busana gaya retro.

Dia yang juga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Bandar Melaka berkata, disebabkan terlalu bersemangat, mereka sanggup datang ke tapak sambutan seawal jam 6 pagi dengan menaiki perkhidmatan e-hailing.

“Memang tidak sia-sia kami bangun awal dan meredah lautan manusia kerana semua yang disajikan pada sambutan ini sangat menarik.

“Bagi saya paling mengujakan adalah persembahan yang disediakan selain perarakan anggota beruniform bersama aset,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Rakannya, Siti Hajar Khalid, 19 turut senada dengan menyifatkan kesemua pengisian pada sambutan itu berada di kelas berbeza.

“Tahun lalu, kami terlepas sambutan ini, jadi kali ini memang kami nekad mahu bersama-sama merasai kemeriahan itu. Alhamdulillah kami sangat seronok dan berbangga dapat meraikan kemerdekaan ke-67 di Melaka dalam suasana meriah,” ujarnya.

Intan Nur Umairah Suhaimi, 19, pula memuji pemilihan lokasi baharu bagi sambutan itu kerana baginya lebih selesa dan teratur.

“Berbanding tahun lalu, sambutan kali ini sangat bagus kerana kawasannya lebih luas dan orang mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyaksikan acara yang disediakan.

“Walaupun berasal dari Kuala Lumpur, namun saya merasakan pelbagai acara dan sambutan yang dianjurkan di Melaka berada di kelas tersendiri dan sangat meriah,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Syahindah Syazwani Saifull Bhari, 20, berkata, sambutan kali ini memberi pengalaman paling istimewa kerana berlangsung dalam cuaca hujan.

“Walaupun hujan, ia sama sekali tidak mematahkan semangat kami untuk menunjukkan semangat dan rasa cinta pada negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post PERARAKAN 845 KENDERAAN, ASET PUKAU PENONTON
Next post MELAKA RAI 9 BAYI MERDEKA
Ubah saiz-+=