Sorting by

×

Gadis 14 tahun, Geng Apir curi motosikal tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 21 April. – ‘Geng Apir’ yang baharu berjinak-jinak dalam kegiatan mencuri motosikal sejak Februari lalu tumpas apabila sembilan individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan dalam beberapa serbuan sejak 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya mula menjejaki kumpulan itu selepas menerima laporan kehilangan motosikal jenis Yamaha RXZ di sebuah rumah di Kampung Lapan pada jam 7 pagi 8 April lalu.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad. Foto: MR. Azli

Katanya susulan itu, polis menahan semua suspek dalam tempoh 24 jam hari sama dalam lima serbuan di beberapa lokasi di sekitar Malim, Tengkera dan Tiang Dua.

“Siasatan awal mendapati kumpulan yang didalangi suspek berusia 23 tahun dikenali sebagai Apir menyasarkan motosikal jenis Yamaha LC dan Honda EX5 yang dicuri di kawasan sunyi sebelum meleraikan semua komponen motosikal berkenaan untuk dijual.

“Kita juga menahan seorang pemandu lori berusia 22 tahun yang bertindak sebagai orang tengah untuk menjual komponen yang dileraikan sama ada kepada bengkel motosikal atau individu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

RANGKA motosikal curi yang dirampas. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, siasatan mendapati hasil jualan curi motosikal itu digunakan untuk membeli bekalan dadah.

“Dalam serbuan itu polis berjaya menemui dua rangka motosikal dan 10 motosikal yang disorokkan di rumah beberapa suspek kumpulan terbabit serta sebuah kenderaan, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM36,000,” katanya.

Beliau berkata hasil tangkapan semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 14 kes curi motosikal di sekitar daerah ini dan semua suspek direman bermula 9 April lalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1681
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal hiba kenang kesusahan hidup
Next post 462,335 individu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=