
GADEK HOTSPRING LAIN DARI YANG LAIN – PENGUNJUNG
GADEK 22 Januari – Kompleks Air Panas Gadek yang kini dikenali sebagai Gadek Hotspring Wellness & Spa Resort telah dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, semalam.
Diuruskan oleh anak syarikat Perbadanan Melaka (MCORP) iaitu PM Project Centre Sdn Bhd, Gadek Hotspring Wellness & Spa Resort tampil berwajah baharu selepas dinaiktaraf dengan menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih baik.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, rata-rata pengunjung memuji inisiatif Kerajaan Negeri yang komited menaik taraf kompleks ini sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang lebih moden dan berkualiti.
Seorang pengunjung, Muhammad Saiful Amri Abd Halim, 28, teruja dengan apa yang ditawarkan oleh Gadek Hotspring Wellness & Spa Resort serta memuji kualiti perkhidmatan kompleks pelancongan tersebut.
“Saya amat teruja dengan imej baharu Kompleks Air Panas Gadek (Gadek Hotspring Wellness & Spa Resort).
“Jika dahulu sebelum dinaiktaraf, kemudahan yang ada tidak beri keselesaan buat pengunjung, namun selepas dinaiktaraf, kompleks ini memang terbaik dari segala aspek dan lain dari yang lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Seorang lagi pengunjung, Noor Fitrah Mat Taran, 28, menyifatkan kompleks tersebut kini tampak lebih moden dan selesa berbanding sebelum ini.
“Sebagai penduduk Kampung Gadek, saya membesar dengan melihat sendiri perkembangan Kompleks Air Panas Gadek, dan penaiktarafan ini nampak lebih moden.
“Lebih menarik, kompleks ini turut menawarkan produk penginapan berkonsepkan chalet serta resort, ini sekali gus beri peluang kepada penduduk sekitar menikmati limpahan ekonomi dari kompleks ini selepas ini,” katanya.

Gadek Hotspring Wellness & Spa Resort dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam.
Harga tiket yang ditetapkan untuk hari biasa (Selasa hingga Khamis) adalah RM12 dewasa dan kanak-kanak dan warga emas RM10.
Untuk cuti am dan hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad), bayaran dikenakan RM15 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak dan warga emas.
Kompleks itu menawarkan fasiliti kolam besar serta 10 kolam rendaman kaki dan dua kolam gazebo.
Selain itu, turut disediakan resort dan chalet pada harga serendah RM160 hingga RM460.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.