Forum KTW pacu transformasi usahawan teknikal wanita
AYER KEROH 24 Mei – Forum Keusahawanan Teknikal Wanita (KTW) mengupas rangkuman teknologi teknikal dan keusahawanan sebagai usaha untuk memperkasa wanita.
Pengarah Projek Forum KTW, Ts. Dr. Nurul Hanim Razak berkata, forum tersebut menampilkan tiga panel terdiri daripada wanita hebat yang mempraktikkan teknikal dan keusahawanan.
Katanya, forum itu juga berobjektif untuk menangkis momokan mengenai fungsi robot pada masa hadapan yang menidakkan kemahiran dan keupayaan manusia.
“Antara panel hebat yang dibawa adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Theta Edge Berhad, Nuraslina Zainal Abidin; Pengarah Pusat Kemajuan dan Kepimpinan Wanita UniKL, Ts Dr Jimsiah Jaafar dan Pengarah ADP Sytech Sdn Bhd, Nur Syazwani Mohamed Rizal.
“Forum yang diadakan hampir dua jam lebih ini turut membincangkan bidang-bidang teknikal yang boleh diceburi untuk menjana pendapatan pada masa kini, sebagai contoh ada panel yang berpengalaman mengguna pakai teknologi dron dalam sektor pertanian turut akan berkongsi cerita.
“Dan yang paling penting, forum ini dapat membuka minda kaum wanita bahawa robotik (teknikal) dan manusia perlu bersama untuk melangkah kedepan dalam dunia serba canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Majlis Pelancaran National Training Week (NTW) 2023 di Kampus Teknologi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.
Forum tersebut dihadiri hampir 350 peserta terdiri daripada pelajar dan usahawan tempatan.
Mengulas lanjut, Nurul Hanim berkata, forum yang merangkum dua bidang berbeza iaitu teknikal dan usahawan itu perlu diperluaskan bagi mengatasi masalah pengangguran.
“Kita sedia maklum, pengangguran meningkat selepas pandemik COVID-19, dan antara usaha forum ini juga untuk membuka mata peserta untuk bergerak kedepan dan menggunapakai teknologi teknikal untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.