FORMULA MAIM BIMBING ASNAF BERKESAN
AYER KEROH 9 November – Bimbingan kemahiran dan pelbagai inisiatif dilaksanakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terbukti berkesan dalam membantu sebahagian asnaf di Melaka keluar daripada garis kemiskinan dan menikmati taraf kehidupan lebih baik.
Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, lebih membanggakan apabila asnaf yang dibimbing bukan sahaja mampu berdikari dan berjaya mengubah nasib mereka, malah kini sudah keluar daripada senarai penerima bantuan.
Katanya, berdasarkan rekod setiap tahun kira-kira 600 asnaf dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan kerana kemampuan mereka berdikari hasil daripada bantuan dan bimbingan disediakan MAIM.
“Bagi 2024 setakat ini kami merekodkan seramai 8,695 penerima bantuan dalam kalangan asnaf. Ada peningkatan penerima berbanding 2023, namun angka itu konsisten setiap tahun kerana jumlah dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan dan mereka yang baharu didaftarkan adalah hampir sama.
“Kami mendapati ada sebahagian asnaf berjaya mengubah nasib hidup mereka hasil daripada bimbingan dan inisiatif dilaksanakan MAIM. Menerusi proses penilaian semula dijalankan kita dapati asnaf-asnaf ini ada peningkatan pendapatan dan mereka kini mampu untuk menyumbang semula kepada komuniti,” katanya.
Mohd Hairulamin berkata, MAIM juga komited membimbing asnaf bergelar usahawan berjaya menerusi penyertaan golongan itu dalam pelbagai program berhubung pendedahan mengenai ilmu perniagaan yang diatur.
“Terbaharu, MAIM kini dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp) sedang melatih 30 usahawan asnaf, selain itu kami juga mewujudkan jalinan kerjasama dengan beberapa bank tempatan menerusi pengagihan wakalah mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.