Fokus segera bersihkan Bachang – Kalsom
PERINGGIT 15 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin akan mencari penyelesaian segera dalam menyelesaikan isu kebersihan di kawasan Bachang.
Keadaan kebersihan di kampung itu dikatakan berada dalam keadaan tidak memuaskan sehingga terdapat longgokan sampah di bahu jalan sekaligus boleh mencemarkan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.
Menurut Kalsom, dalam menyelesaikan itu beberapa pendekatan akan diambil pihaknya antaranya akan mengadakan pembersihan berskala besar iaitu gotong royong mega serta pertandingan kebersihan dan kecantikan antara cawangan di kampung itu.
Kata beliau, punca berlakunya keadaan itu tidak boleh ditunding kepada penduduk sahaja sebaliknya pihak bertanggungjawab memastikan kebersihan berada dalam keadaan memuaskan tanpa adanya longgokan sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
“Fokus utama saya masa ini hendak cantikkan Kampung Bachang dari segi kebersihan sampah, kita turun padang hantar bantuan kebajikan dan saya nampak kebersihan masih jauh lagi.
“Kadang-kadang orang kampung betul hendak buang sampah tetapi tidak cukup dari segi tempat pelupusan sampah, ia harus diperbetulkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Peringgit, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya kini dalam perbincangan bersama agensi yang terbabit termasuk pihak berkuasa tempatan dalam mencari penyelesaian untuk membersihkan kawasan kampung itu.
“Daripada perbincangan dilakukan kita dapat banyak idea untuk membawa keluar sampah ini kerana keadaan laluan yang sempit dikatakan sukar untuk lori masuk ke sesetengah kawasan.
“Malah gotong-royong mega kita jangkakan adakan pada Februari atau Mac iaitu sebelum ramadan. Program ini perlu dirancang dengan teliti kerana membabitkan ramai pihak selain elak timbulnya rasa kurang senang segelintir pihak,” katanya.
Tambahan, dengan adanya pertandingan kebersihan dan kecantikan antara cawangan juga nanti akan membawa imej dan suasana baru di Bachang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.