Fokus bantu rakyat, bukan bubar DUN
AYER KEROH 16 Julai – Tidak ada sebarang keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa ini, sebaliknya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diminta untuk terus bersama-sama memberikan komitmen dalam mengukuhkan lagi perkembangan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Melaka.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, mandat diberikan pengundi pada pilihan raya yang lalu tidak sepatutnya disia-siakan, tetapi dimanfatkan sepenuhnya untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya berterusan ‘bermain politik’.
Abdul Hakim berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Adun Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof mencabar Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tindakan Dr. Mohd Aleef itu adalah susulan kenyataan Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, mahu merampas semula kerusi DUN Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Mengulas lanjut Abdul Hakim berkata, ketika ini Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bersama seluruh anggota Kerajaan Negeri berusaha untuk meningkatkan lagi kedudukan ekonomi Melaka yang semakin mendapat perhatian daripada pelabur asing.
“Mengapa DUN Melaka perlu dibubarkan semata-mata kerana Sungai Udang. Malah ketika ini kedudukan ekonomi rakyat dan negeri berada pada tahap yang terbaik. Menguruskan ekonomi dan rakyat Melaka lebih utama ketika ini.
“Tidak perlu melatah, kerana apa yang terbaik ketika ini adalah semua Adun bersama-sama bekerja demi memajukan lagi Melaka, apabila tiba masanya kita kembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, kedudukan Kerajaan Negeri Melaka ketika ini juga amat kukuh dengan keseluruhan 26 kerusi DUN yang diwakili Adun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Kenyataan Ketua Menteri adalah perancangan untuk pilihan raya akan datang. UMNO akan memperkemaskan gerak kerja parti dan sudah pasti akan mempertahankan kemenangan serta berusaha lebih gigih di kerusi yang kalah sebelum ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.