Sorting by

×

Fokus baiki pesisir pantai, berbanding bina infrastruktur

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 31 Julai – Fokus akan diberikan kepada pembinaan benteng pemecah ombak dan penambakan pasir bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Puteri.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu menjadi keutamaan susulan maklum balas diterima daripada komuniti nelayan yang mengharapkan kedua-dua perancangan itu dilaksanakan.

“Nelayan mahu pesisir pantai kawasan itu dibaiki dan bukan bina kemudahan seperti jeti baharu. Tindakan mewujudkan pusat pendaratan nelayan lebih strategik dan sistematik juga perlu dilaksanakan secara bersepadu.

“Usaha ini akan dijayakan dengan kerjasama jabatan atau agensi seperti Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perikanan Negeri Melaka.

“Sementara itu bagi cadangan pembinaan jeti baharu, LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) memohon ulasan dari JPS Melaka dan jabatan itu memaklumkan akan melaksanakan kajian serta pembaikan sepanjang pesisir pantai. Kemudian barulah pembinaan jeti boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tuminah Kadi@Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) pada Persidangan Kedua, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Ke-15, di sini, hari ini.

Manakala mengenai pembangunan infrastruktur di kawasan Pantai Kundor, Dr. Muhamad Akmal berkata, sebanyak enam permohonan melibatkan kos RM790,000 belum diluluskan.

“Antara permohonan kemudahan infrastuktur nelayan di kawasan itu termasuk penambahan bangsal parkir sampan, memasang mesin penarik bot dan membaik pulih bumbung parkir sampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1234
Kongsi :
Previous post ‘Water Taxi’ mudahkan pelancong ke Banda Hilir
Next post Bot pancung bawa dadah RM400,000, warga Indonesia ditahan
Ubah saiz-+=