Sorting by

×

‘FLYING SIKH’ MASIH BERBISA DI USIA 63 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ASAHAN 25 Disember – Legenda rali negara Karamjit Singh sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya merangkul kejuaraan Rally Of Asahan 2024 pada usia emas.

Pelumba berusia 63 tahun yang memandu kereta jenis Subaru Impreza terbukti masih berbisa apabila berjaya mengungguli kejohanan dengan menewaskan 21 pencabar lain.

Mengulas mengenai pencapaiannya, Karamjit yang juga dikenali sebagai ‘Flying Sikh’ berkata meskipun berdepan cabaran yang agak sukar kerana perlu menempuh laluan yang sempit dan berliku di dalam ladang kelapa sawit, namun dia dapat mengatasi pesaing lain.

“Rali kali ini sangat mencabar kerana banyak selekoh, jalan yang sempit dikelilingi pokok sawit, namun saya boleh memandu kereta pada kelajuan 170km/j di dalam ladang ini.

“Terdapat sembilan ‘Special Stage’ yang saya perlu harungi, cuma ada satu stage saya kecundang kerana tayar kereta mengalami masalah, tetapi saya masih mampu bangkit untuk mengejar sehingga menang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Karamjit menerima trofi kemenangan yang disampaikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan di Kompleks Japerun Asahan di sini.

Katanya, berpengalaman selama 40 tahun dalam sukan permotoran rali tidak menjadikannya gentar dengan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang perlumbaan.

“Mengapa saya diberi gelaran ‘Flying Sikh’ kerana saya sudah mempunyai pengalaman berpuluh tahun dan saya juga penah menjadi juara dunia, juara Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) banyak kali dan juara Malaysia 17 kali.

“Jadi ini memang makanan saya, saya belum berfikir untuk berhenti (bersara) dalam sukan permotoran lasak kerana ia adalah minat saya sejak muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

117
Kongsi :
Previous post SYUKUR RAMAI YANG PRIHATIN
Next post MELAKA MAHU PERKENAL LEBIH BANYAK TAPAK WARISAN BAHARU
Ubah saiz-+=