FINAS alu-alukan kerjasama penganjuran FFM dengan Kerajaan Negeri
KLEBANG 3 Disember – Kejayaan Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM) yang diadakan di Encore Melaka memberi nafas baharu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk memperluaskan penganjurannya ke negeri lain pada masa akan datang.
Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkata, pemilihan lokasi di negeri bersejarah itu adalah langkah berani agensi kerajaan itu yang mahu membawa perubahan kepada kegemilangan penganjurannya.
Katanya, suasana dan persembahan acara yang menarik dan luar biasa meletakkan FFM32 ke satu tahap berbeza.
“Kejayaan FFM32 pada malam ini menyaksikan kemampuan luar biasa industri kreatif kita, pengiktirafan telah diberikan kepada penggiat seni negara yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Penglibatan dan sokongan penaja yang bertambah secara keseluruhan melambangkan kepercayaan dan keyakinan terhadap FINAS dalam mengelolakan acara paling prestij di Malaysia sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri festival filem berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.
Justeru, Zuraidah berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana Kerajaan Negeri bagi penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun-tahun mendatang.
“Insha-Allah, menjadi tuan rumah kepada acara gilang-gemilang ini memberikan tarikan istimewa kepada negeri yang menganjurnya.
“Peluang yang diberikan ini sepatutnya disambar secepat mungkin sebagai acara yang paling dinantikan oleh semua pihak di dalam dan luar negara.
“Tahun depan, kita akan mulakan (penganjuran ke negeri lain) supaya negeri yang berminat boleh datang kepada FINAS dan menyatakan hasrat mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi membawa industri kreatif negara ke tahap lebih tinggi serta disegani.
Katanya, menjadi harapan FINAS agar Perdana Menteri memberi sokongan, galakan dan panduan untuk FINAS agar terus mencapai kecemerlangan.
“Jambatan yang dibina oleh FINAS melalui jaringan karya dan pelaburan di peringkat antarabangsa adalah satu usaha yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Justeru, kebangkitan dan kesejahteraan ekonomi yang sering disebut Yang Berhormat Perdana Menteri adalah tidak mustahil dicapai secara terancang dn kolektif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.