Filipina buka pintu kepada pelancong lengkap vaksin
MANILA, 28 Jan – Filipina akan membuka pintunya kepada warga asing yang lengkap divaksin dari negara dan wilayah dengan kemasukan bebas visa ke Filipina mulai 10 Feb, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa pada Jumaat.
Setiausaha Kabinet Karlo Nograles berkata warga asing yang mengembara untuk tujuan perniagaan dan pelancongan mesti mengemukakan sijil vaksinasi dan pasport yang sah untuk sekurang-kurangnya enam bulan pada masa ketibaan. Individu yang berumur di bawah 18 tahun dikecualikan daripada langkah itu, tambahnya.
Setiausaha Pelancongan Berna Romulo-Puyat berkata keputusan untuk membenarkan pelancong melawat negara itu “akan menyumbang kepada pemulihan pekerjaan, terutamanya dalam komuniti yang bergantung kepada pelancongan, dan dalam pembukaan semula perniagaan yang ditutup disebabkan pandemik.”
Dengan membuka semula negara itu kepada pelancong antarabangsa, Puyat berharap Filipina dapat bersaing dengan negara jiran Asia Tenggara yang sudahpun membuka sempadannya.
“Memandangkan virus itu tidak dapat dijangka, kami akan memantau dengan teliti keadaan dan memastikan protokol kesihatan dan keselamatan dilaksanakan dengan ketat di semua pertubuhan pelancongan,” kata Puyat.
Sementara itu, Filipina akan menangguhkan sementara klasifikasi risiko COVID-19 untuk pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya mulai 1 Feb.
Semua pengembara yang memasuki negara itu mesti menunjukkan ujian RT-PCR negatif yang dilakukan 48 jam sebelum berlepas. Pengembara tidak lagi perlu menjalani kuarantin di pusat kemudahan tetapi memantau diri mereka di rumah selama tujuh hari.
Filipina kini mempunyai hampir 3.5 juta kes COVID-19 yang disahkan, termasuk sekurang-kurangnya 53,736 kematian. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.