FESTIVAL SUNGAI MELAKA KEMBALI, LEBIH MERIAH TAHUN INI
AYER KEROH 22 Oktober – Festival Sungai Melaka yang terhenti selama empat tahun kembali semula tahun ini dengan pengisian lebih menarik dan meriah.
Ia dikembalikan semula Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bersempena International Cultural & Arts Festival 2024 @Sungai Melaka (ICAF2024).
Festival itu akan diadakan selama tiga hari bermula 25 Oktober, bertempat di Dataran Pengkalan Rama.
Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda berkata, ICAF 2024 merupakan acara yang dianjurkan secara bersama oleh beberapa agensi yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri.
Jelasnya, antara pengisian menarik pada Festival Sungai Melaka adalah pertandingan kayak membabitkan dua kategori iaitu terbuka dan institusi pengajian tinggi (IPT), Voice Of Selat Melaka, persembahan kebudayaan dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung.
“Cabutan bertuah ini merupakan daya penarik kepada orang ramai di mana pengunjung bertuah berpeluang membawa pulang motosikal, skuter elektrik dan pelbagai hadiah menarik lain.
“Selain itu, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Naim Daniel dan ramai lagi, serta Haziq Rosebi juga dijemput sebagai juri pada pertandingan Voice Of Selat Melaka,” katanya ketika bersiaran di Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV.
Menurut Khairunnisa, sama seperti sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 yang lalu, ICAF 2024 juga akan menampilkan pentas terapung di atas Sungai Melaka dengan saiz lebih lebar.
“Memandangkan ini merupakan acara bertaraf antarabangsa, saiz pentas juga lebih besar kerana ia akan membabitkan penari-penari dari dalam dan luar negara.
“Menariknya lagi, akan ada perarakan bot pada Malam Gala pada 26 Oktober nanti di mana, kenamaan akan dibawa menaiki bot menuju ke lokasi sambutan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.