FESTIVAL SUNGAI MELAKA GAMIT JUTAAN PENGUNJUNG SEJAK 2012
BANDARAYA MELAKA 26 Oktober – Festival Sungai Melaka yang bermula sejak tahun 2012 telah berjaya menggamit jutaan pengunjung dari serata dunia ke Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival yang sudah berusia 14 tahun itu merupakan cetusan idea Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dalam mempromosikan Sungai Melaka sebagai antara destinasi pelancongan ikonik dunia.
“Sejak dari awal penganjurannya hingga kini, Festival Sungai Melaka telah berjaya menggamit jutaan pengunjung dari serata dunia.
“Ia sekali gus menjadikan Melaka River Cruise antara produk pelancongan utama dan wajib dilawati oleh para pelancong yang datang ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala dan Perasmian International Cultural & Arts Festival @Sungai Melaka 2024 (ICAF 2024) di Dataran Pengkalan Rama Pantai, di sini, malam tadi.
Perasmian majlis itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta lain-lain kenamaan.
Tahun ini, Festival Sungai Melaka yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) merupakan salah satu penyeri dalam menggamit kemeriahan ICAF 2024.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.