Festival Masakan Warisan Melaka tampil acara memasak asam pedas serentak paling ramai
BANDARAYA MELAKA 31 Mei – Penganjuran Festival Masakan Warisan Melaka (FMWM) 2022 iaitu acara memasak asam pedas serentak paling ramai melibatkan 250 peserta bakal tercatat dalam ‘Malaysia Book of Record’ (MBOR).
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata festival tiga hari bermula 22 hingga 24 Julai itu dijangka mampu menarik kehadiran sehingga 70,000 pengunjung.
“Kali ini kita akan panggil semua persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sertai program ini pada 23 Julai nanti sekali gus pecahkan rekod memasak asam pedas secara serentak paling ramai.
“Objektif utama kita adakan festival ini untuk membentuk jati diri masyarakat pelbagai kaum, bangkitkan nostalgia selain kembalikan masakan warisan ditinggalkan nenek moyang kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media festival berkenaan di Hotel La Crista, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Mohd Nasruddin Rahman.
“Sasaran utama kita adalah pelancong, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), pengusaha makanan tradisi, hotel serta inap desa.
“Pelbagai acara diadakan sepanjang tiga hari festival antaranya demonstrasi masakan etnik Melaka, membuat kuih dan persembahan kebudayaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.