Festival Masakan Warisan Melaka tampil 30 hidangan tradisi
BANDA HILIR 19 Julai – Festival Masakan Warisan Melaka (FMWM) 2022 kini kembali dengan menampilkan lebih 30 hidangan tradisi daripada pelbagai etnik untuk dijamu kepada pengunjung yang hadir.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, festival tahunan itu menyaksikan penyertaan antara 50 hingga 60 gerai terlibat daripada agensi-agensi kerajaan, pihak muzium mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, festival yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 22 Julai ini di sepanjang jalan Kota Melaka itu juga bakal mencatat sejarah tersendiri dalam Malaysia Book of Record (MBOR) acara memasak asam pedas secara serentak.
“MBOR akan mengiktiraf program kali ini dengan kita cuba memecahkan rekod memasak asam pedas secara serentak paling ramai iaitu seramai 250 peserta daripada seluruh negeri termasuk pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta akan terlibat.
“Kita minta Jabatan Pelajaran Negeri Melaka untuk memanggil pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 untuk sertai festival ini kerana ini masanya mereka mengetengahkan kemampuan dalam memasak makanan tradisional yang sinonim dengan etnik masing-masing.
“Tidak lupa, kita juga akan ada persembahan silat jatuh yang mana bagi saya menarik kerana kalau ikutkan kalau bersilat memang akan jatuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media yang dijalankan di Muzium Rakyat, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar PERZIM, Dr Mohd Nasruddin Rahman.
Mengulas lanjut, ujarnya, festival itu juga dijangka akan menarik seramai lebih 50,000 pengunjung untuk hadir sekali gus merancakkan pelancongan pada hujung minggu ini.
“Kita juga menjemput semua muzium di Malaysia malah hampir 90 peratus muzium telah bersetuju untuk hadir mempamerkan pameran serta masakan tradisional di negeri masing-masing.
“Lebih menarik lagi pengunjung yang hadir berpeluang memenangi cabutan nama bertuah kami. Cabutan nama bertuah ini maksudnya tidak kira berapa ramai pun datang, bagi nama dan berpeluang untuk menang hadiah yang ‘besau-besau’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.