FESTIVAL MASAKAN WARISAN MELAKA MEDAN PERKENAL MAKANAN WARISAN KEPADA GENERASI MUDA
BANDA HILIR 29 Disember – Festival Masakan Warisan Melaka 2024 dijadikan medan untuk memberi pendedahan meluas mengenai makanan warisan kepada generasi muda.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata program anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu wajar diketengahkan seiring pengiktirafan negeri Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Katanya, festival itu mampu meningkatkan visibiliti Melaka sebagai sebuah destinasi tumpuan bagi pelancong gastronomi.
“Malahan festival ini merupakan signifikan untuk memastikan warisan budaya masakan tradisional kekal relevan dan terpelihara.
“Melaka sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis makanan tradisi contoh kuih bakar, kuih keria, asam pedas, dodol dan laksa nyonya.
“Saya bangga kerana penganjuran festival ini telah memasuki tahun ke-16 sejak tahun 2004 seterusnya membuktikan Melaka komited memartabatkan warisan tidak ketara ini, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Masakan Warisan Melaka 2024 di Jalan Kota di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalannya, Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah serta kenamaan lain.
Festival Masakan Warisan Melaka 2024 telah diadakan selama dua hari bermula 28 dan 29 Disember dengan pelbagai pengisian serta demonstrasi masakan melibatkan lebih 40 gerai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.