Festival Layang-Layang TMM2024 lebih besar, meriah
KESIDANG 17 September – Penganjuran Festival Layang-Layang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal lebih besar dan lebih meriah tahun depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran berskala mega itu bakal diadakan selama tiga hari dua malam serta dijangka membabitkan penyertaan lebih 100 peserta dalam selain luar negara.
Menurut beliau, sasaran pengunjung sepanjang festival mega itu juga dijangka meningkat dua kali ganda mencecah puluhan ribu orang.
“Kita akan perhebatkan festival ini memandangkan Ketua Menteri sendiri mencadangkan agar tempoh festival dilanjutkan selama tiga hari.
“Mengenai lokasi penganjuran, kita akan membuat kajian lebih terperinci memandangkan dengan pertambahan peserta, ia memerlukan tapak festival yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 di Limbongan, di sini, hari ini.
Festival berkenaan telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Sa’ari Basiron dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.