Festival kraf bantu usahawan perkenalkan produk
AYER KEROH 9 Mac – Inisiatif Perbadanan Kemajuan Kraf Malaysia (PKKM) menganjurkan Festival Kraf Keabngsaan 2023 (FKK2023) bukan sahaja membantu usahawan untuk mengetengahkan produk keluaran mereka malah membantu menjana pendapatan.
Bagi peserta yang juga pembuat produk kraftangan Shalily Sajad, 50, berkata, penganjuran festival ini adalah platform terbaik bagi membantu usahawan memperkenalkan produk keluaran seterusnya menjualnya kepada pembeli.
“Sejujurnya apabila kami mengikuti festival sebegini ia amat membantu kerana bayaran tapak yang dikenakan tidaklah mahal berbanding jika mengikuti penganjuran di luar malah di sini juga akan mengumpulkan hasil kraf yang asli.
“Sepanjang 16 tahun terbabit dalam pembuatan kraftangan ini dan mengikuti program yang diadakan PKKM ini, ia banyak membantu saya dalam memasarkan produk dan menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui di FKK2023 yang berlangsung di Aeon Bandaraya, di sini, semalam.
Menurut usahawan dari Lenggeng Negeri Sembilan, yang menghasilkan produk kraf berasaskan tempurung kelapa itu berkata, festival ini juga adalah platform terbaik buat sesetengah pembeli yang lebih menyukai pembelian secara terus berbanding atas talian kerana mereka boleh melihat sendiri hasil kraf sebelum membeli.
Bagi seorang lagi usawahan Azra Hussin, 44, berkata, sebagai usahawan produk dihasilkan selain memperkenalkan kepada umum hasil kraftangan yang terdapat di dalam negara.
“Setiap hasil kraf yang dihasilkan setiap satunya mempunyai nilai dan konsep tersendiri jadi menerusi festival ini kita sebagai pembuat produk dapat menerangkan secara terus kepada pembeli tentang sesuatu produk.
“Sejujurnya bagi saya pasaran jualan di Melaka lebih besar dan sesuai untuk perkenalkan produk kraftangan dan membantu usahawan untuk menjana pendapatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.