Festival D’Bendang tawar pelbagai manfaat untuk orang kampung

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI RAMBAI 9 Ogos – Penganjuran Festival D’Bendang Melaka 2024 selama tiga hari bermula hari ini menjadi medan terbaik untuk masyarakat luar bandar mendapatkan input berharga berhubung pelbagai inisiatif disediakan agensi dan jabatan kerajaan untuk manfaat mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis berkata, ia memandangkan festival itu turut menampilkan Mini Karnival Usahawan Desa dengan pembabitan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Jelasnya, orang ramai juga boleh membeli pelbagai jenis produk keluaran usahawan desa selain mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan jabatan atau agensi kerajaan dengan mengunjungi lebih 150 gerai dan reruai disediakan.

“Ini juga platform terbaik buat orang-orang kampung untuk mengetahui apa itu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), fungsinya serta peluang yang disediakan oleh agensi-agensi di bawahnya.

“Di sini juga orang ramai dapat mengambil inspirasi daripada kisah kejayaan usahawan desa yang bermula daripada industri kecil dan sederhana, hinggalah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Jadi, saya menjemput semua yang berada di Melaka dan luar Melaka untuk datang ke sini bagi mendapatkan pelbagai pengisian bermanfaat bermula hari ini hingga Ahad,” katanya ketika ditemui pada hari pertama penganjuran Festival D’Bendang di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, di sini, hari ini.

Terdahulu Siti Faizah mengiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar ketika meninjau perjalanan hari pertama Festival D’Bendang Melaka 2024.

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri memaklumkan, untuk hari pertama festival berkenaan, aktiviti jualan dan reruai telahpun bermula.

Selain itu, katanya, turut diadakan perkongsian ilmu daripada Lembaga Koko Malaysia yang menunjukkan demonstrasi dan ilmu penjagaan pokok koko kepada orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
Kongsi :
Previous post LTAM kembali sibuk Oktober depan – KM
Next post MATTA Fair Melaka sasar nilai jualan RM15 juta
Ubah saiz-+=