Festival D’Bendang jadi program tahunan zon selatan
SUNGAI RAMBAI 9 Ogos – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhasrat akan menjadikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’Bendang sebagai program tahunan bagi zon selatan.
Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, festival itu wajar untuk terus dilaksanakan kerana memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat sama seperti penganjuran Pesta Angin Timur di Perlis.
Mengulas lanjut beliau berkata, penganjuran itu mampu menjadi platform buat usahawan desa untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Apa yang istimewanya adalah penganjuran ini membawa dua elemen dalam satu, seperti mana kita lihat Festival D’ Bendang mempunyai elemen kedesaan dan KUD pula menonjolkan elemen keusahawanan.
“Jadi kita bercadang untuk anjurkan karnival seperti ini setiap tahun kerana ia membuka peluang buat usahawan desa mengembangkan perniagaan dan meluaskan pasaran produk masing-masing.
“Jika penganjuran kali ini menunjukkan sambutan luar biasa, sokongan jitu akan terus diberikan KKDW kepada Kerajaan Negeri untuk dijadikan sebagai karnival tahunan dan mungkin boleh diperluaskan lagi dengan penglibatan usahawan dari negeri-negeri sekitar zon selatan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak di karnival itu, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis.
Mengulas lanjut, Muhd Khair berkata, bagi program kali ini pihaknya berjaya menghimpunkan 150 usahawan luar bandar, 104 penjaja kecil kendalian Japerun Sungai Rambai dan 57 usahawan KKDW.
“Karnival ini perlu dianjurkan setiap tahun, menjadi antara program-program yang perlu KKDW dilaksanakan dari semasa ke semasa tanpa menunggu Karnival Usahawan Desa setiap dua tahun sekali.
“Ushaha dilaksanakan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi tahap produktiviti usahawan desa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.