Festival angkat seni warisan Melayu Melaka- Exco
AYER KEROH 6 Oktober – Festival Gegau Melaka @ Muzium Negara 2022 platform bagi mengangkat kembali warisan dan seni budaya masyarakat Melayu di Negeri Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia secara tidak langsung berupaya mengembangkan warisan tidak ketara di Melaka supaya tidak pupus dalam minda generasi muda.
“Justeru itu, Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka dan Institut Warisan Melaka (INSWA) mengambil inisiatif memartabatkan warisan ini agar dapat dilestarikan kepada masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa.
“Secara tidak langsung mempromosi negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan yang penuh dengan nilai warisan, sejarah dan seni budaya khususnya masakan tradisional dan persembahan kebudayaan yang menarik pengunjung untuk ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Gegau Melaka @ Muzium Negara Tahun 2022, baru-baru ini.
Hadir sama Pengurus Besar INSWA, Nurman Mohd Baroldin dan Pengurus Besar Bahagian Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Sa’ari Basiron.
Festival itu mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Muzium Malaysia dan Tourism Melaka.
Sementara itu, Nurman berkata sambutan festival itu sangat memberansangkan sehinggakan ada pengusaha terpaksa balik ke Melaka untuk mengambil produknya yang sudah habis.
“Terima kasih kepada agensi atau jabatan terlibat, sokongan daripada semua pihak sudah pasti menyemarakkan lagi semangat kita untuk memartabatkan sejarah, budaya serta keunikan negeri Melaka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pelancong yang berkunjung dapat merasai sendiri keunikan masakan warisan tradisional serta dapat menikmati diskaun hebat bayaran tiket masuk ke tempat tarikan pelancongan serta pakej penginapan menarik hotel-hotel di Melaka,” katanya.
Antara pengisian program seperti pameran gerai pelancongan, demonstrasi masakan tradisional, jualan kraftangan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertandingan tarian etnik kategori kanak-kanak untuk sekolah rendah dan lain-lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.