Fazil Group tubuh Yayasan Nur Kasih, perhebat program kebajikan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 15 April – Syarikat insurans terkemuka, Fazil Group melancarkan Yayasan Nur Kasih sebagai badan yang akan merancakkan lagi usaha pihaknya dalam menjalankan aktiviti kebajikan.

Pengasasnya, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, meskipun mengambil masa agak lama untuk menunggu, namun berkat kesabaran itu Fazil Group akhirnya memiliki yayasan sendiri.

Beliau berkata, penubuhan yayasan itu secara tidak langsung mempamerkan keprihatinan pihaknya terhadap aspek kebajikan.

“Saya sudah berangan lama untuk membuka yayasan bagi memperluaskan aktiviti kebajikan syarikat dan akhirnya hari ini ia dapat dilancarkan selepas mendapat kelulusan.

“Selain perasmian pada hari ini (Jumaat), Yayasan Nur Kasih juga berjaya mengumpul sumbangan RM1 juta untuk digunakan bagi aktiviti kebajikan.

“Diharap dengan sumbangan diterima ini, kita akan menghulur balik kepada mereka yang kurang berkemampuan selain perlu dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Yayasan Nur Kasih Fazil Group oleh Mufti Melaka Datuk Wira Halim Tawil, di sebuah hotel, di sini, semalam.

IMG_20230415_095535
PELANCARAN Yayasan Fazil Group di sebuah hotel di Banda Hilir.

Menurut beliau, meskipun sebelum ini syarikatnya sudah aktif menjalankan kerja kebajikan di seluruh negara tetapi dengan penubuhan yayasan itu ia akan menambah baik lagi usaha tersebut.

“Wawasan kita adalah untuk memberi sumbangan seberapa banyak di Melaka dan Malaysia. Sebelum ini Fazil Group sudah turun ke beberapa negeri untuk menyampaikan sumbangan sama ada bantuan persekolahan mahupun banjir tetapi menggunakan nama syarikat.

“Kita harap dengan penubuhan ini Fazil Group akan memberi lebih banyak perkhidmatan dan menambah baik perkhidmatan sedia ada yang menyasarkan golongan B40 ke bawah,” katanya.

Ujar Fazil, dengan penubuhan Yayasan Nur Kasih, ia juga akan menjadi pendorong buat syarikat atau individu persendirian untuk tampil menghulurkan sumbangan.

“Malah dengan penubuhan yayasan juga orang ramai tidak akan ragu-ragu dalam menghulurkan bantuan kerana semua duit sumbangan terjamin selain akan diaudit.

“Selepas ini juga kita akan merangka dan merancang pemberian sumbangan yang lebih meluas dan teratur,” katanya.

Pada majlis itu, turut berlangsung Majlis Perlantikan Penasihat Koperasi Ihsan Rakan Niaga Fazil Group Sdn Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2571
Kongsi :
Previous post Butik Rakyat Rahmah wajar jadi contoh di Malaysia
Next post ‘Kambing saiz kucing’ bakal jadi tarikan Zoo Melaka
Ubah saiz-+=