Fazil Group ‘terbang’ lebih tinggi

Masa Membaca:3 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA – Fazil Group menetapkan sasaran untuk membuka sekurang-kurangnya tiga cawangan baharu, menjelang akhir tahun ini.
Pengasasnya, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, pembukaan cawangan di luar Melaka itu adalah untuk memperluaskan lagi perlindungan insurans yang ditawarkan agensi kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, selain perancangan pembukaan cawangan baharu, agensi insuransnya juga menyasarkan membuat perlantikan lebih 100 ejen insurans yang terbaik di Malaysia .
“Lebih 30 tahun lalu, Fazil Group hanya satu iaitu di Melaka tetapi kini kita ada perancangan untuk membuka cawangan di seluruh Malaysia dan untuk waktu terdekat ini mungkin akan buka tiga atau empat cawangan dahulu bermula di Terengganu.
“Kita akan tengok ‘feedback’ cawangan yang dibuka ini bagaimana kerana tidak mahu pembukaan cawangan baharu tidak mendatangkan kebaikan terutamanya kepada ejen. Pada waktu ini insurans kita mempunyai ahli hampir 200,000 di seluruh Malaysia, manakala di di Fazil Group, terdapat 60 orang tenaga kerja untuk uruskan hal berkaitan insurans.
“Manakala untuk ejen kita mempunyai lebih 150 orang ejen sepenuhnya masa, daripada jumlah itu 90 peratus adalah orang Melaka dan bakinya luar negeri ini. Sekarang kita ada 30 ejen baharu dan kita jangka akan buat perlantikan 100 orang lebih untuk tahun ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Ibu Pejabat, Wisma Datuk Seri Fazil, Kompleks Munshi Abdullah, di sini.

PAKAR INSURANS

Menurut beliau, agensi insuransnya yang menawarkan MCIS Life Ins. itu, selama 11 tahun berturut-turut berada di kedudukan pertama di Malaysia bagi kategori Bumiputera.
“Sasaran kami bukan hanya memberikan kebajikan kepada semua rakyat Malaysia khususnya Bumiputera tetapi melahirkan ejen yang terbaik dan mampu menjadi jutawan dalam usia yang muda selari dengan cogan Fazil Group iaitu ‘kaya di usia muda’.
“Seperti agensi insurans lain, kita turut menawarkan pelbagai polisi termasuk insurans nyawa, perubatan dan kenderaan tetapi kelainan kita adalah menawarkan insurans serendah RM10 sebulan dengan duit dipulangkan balik bersama bonus apabila cukup tempoh matang.
“Dengan kerjasama MCIS Life Ins. kita telah melancarkan Skim Perlindungan Berkumpulan yang mana menerusi skim ini pencarum akan menikmati manfaat dengan caruman serendah RM10,” katanya.

BERKAT DOA IBU

Bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, sudah pasti untuk berada di puncak seperti sekarang ia bermula dengan cabaran yang sukar apatah lagi cabaran dalam insurans kerana ketika dahulu orang Melayu sukar untuk menerima insurans.
“Di Malaysia hanya kira-kira 40 peratus sahaja yang memiliki insurans berbanding Singapura. Rakyat Malaysia kurang sedar pentingnya insurans jadi ejen inilah yang perlu memainkan peranan namun begitu trend menunjukkan peningkatan yang mana secara purata seminggu antara 200 hingga 300 orang akan mengambil insurans.
“Apabila dipertemukan dengan insurans, pada 1989 saya sudah terbayang akan menjadi jutawan jadi saya meminta arwah ibu untuk doakan saya, kerana ini adalah perniagaan yang saya mahukan, ia tidak memerlukan modal.
“Setiap cabaran dalam perniagaan akan membuatkan seorang itu menjadi lebih matang kerana apabila diuji kita akan lebih maju kehadapan dan ujian itu juga akan membawa rezeki yang lebih baik,” katanya.

LEBAR SAYAP

Mengulas lanjut, Fazil berkata, selain insurans dan beberapa perniagaan lain termasuk minyak wangi, Fazil Group juga bakal membuka sebuah kedai emas di Mydin MITC, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Perniagaan emas ini sebenarnya sudah lama jalankan, tetapi pembukaan kedai emas ini projek pertama Fazil Group. Ini adalah untuk menaikkan taraf Bumiputera dalam perniagaan. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada, kita akan kongsikan dengan anak muda khususnya.
“Penjualan emas kita lain daripada yang lain kerana kita ada sistem sendiri selain kakitangan kerajaan boleh membeli emas dengan potongan gaji,” katanya.
Ujarnya, Fazil Group sentiasa terbuka untuk mengambil ejen baharu bagi menyertai agensi insuransnya.
“Kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun, ingin keluar dari kemiskinan atau tahap sederhana dan ingin menjadi orang luar biasa datanglah ke Fazil Group.
“Setiap Khamis, jam 3 petang kita ada sesi temuduga untuk ejen bukan sahaja insurans tetapi juga emas dan minyak wangi. Saya akan pastikan mereka menjadi individu luar biasa tetapi untuk berjaya mestilah rajin, jujur dan amanah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10235
Kongsi :
Previous post Ayam hidup umpan buaya ‘viral’
Next post Fazil Group ‘terbang’ lebih tinggi
Ubah saiz-+=