Fasa endemik COVID-19: KKM bentang saranan, SOP baharu minggu depan
Ketika ini, Malaysia berada di fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di sini hari ini, Dr Zaliha berkata semakan terhadap saranan dan SOP baharu tersebut akan mengambil kira garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), situasi kes antarabangsa dan kes jangkitan COVID-19 dalam negara.
“Status (peralihan) ini kita akan umumkan selepas saya membawa pembentangan kepada Jemaah Menteri…bahagian Kesihatan Awam telah pun memberi saranan untuk kita laksanakan SOP yang boleh dikategorikan sebagai SOP baharu,” katanya.
Pada Mei lepas, KKM mengumumkan akan menilai semula status peralihan fasa ke endemik selepas pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan berakhir pada 30 Jun ini.
Setakat 17 Jun lepas, Malaysia mencatatkan sebanyak 5,112,019 kes termasuk kes import membabitkan 37,118 kematian.
Semalam, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan negara itu secara rasmi menamatkan status pandemik COVID-19.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata SOP kesihatan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan bergantung kepada pengumuman status peralihan berkenaan.
“Akan bergantung kepada pengumuman SOP baharu. Kita tunggu,” katanya.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.