Fasa 2 PPN beri rahmat buat peniaga kecil

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KLEBANG 5 Sept – Kelonggaran beberapa aktiviti sosial seperti berkhemah dan berkelah di pantai sepanjang Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) nyata memberi rahmat buat peniaga kecil di negeri ini.

Ia apabila orang ramai dilihat seakan kembali ‘berpesta’ di pantai-pantai peranginan di negeri ini dengan mengambil kesempatan membawa keluarga keluar bersiar-siar.

Menurut peniaga belon buih dan kacang rebus di Pantai Klebang, Noriani Bakar, 53, sebaik mengetahui kelonggaran yang diberi, dia terus mengambil peluang untuk kembali berniaga bermula semalam selepas lebih tiga bulan bercuti.

Katanya, sambutan yang diterima daripada pengunjung cukup menggalakkan sejak berniaga pada awal pagi hingga lewat petang.

PERNIAGAAN belon buih Siti Fatimah mendapat sambutan menggalakkan selepas kerajaan memberi kelonggaran aktiviti berkelah di pantai.

“Alhamdulillah syukur sangat dengan rezeki yang diberi kerana dapat berniaga selepas berbulan-bulan hanya bergantung harap kepada bantuan kerajaan dan wang simpanan.

“Bila lihat keadaan kembali meriah seperti ini kita sebagai peniaga memang gembira sangat memandangkan ada juga pendapatan untuk kami membayar bil-bil yang tertunggak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Turut senada, peniaga makanan dan minuman di Pantai Puteri, Kamarul Zaman Adnan, 60 yang mengakui perniagaannya laris sejak semalam apabila orang ramai tidak putus-putus mengunjungi pantai berkenaan untuk berkelah.

Jika sebelum ini dia dan isteri hanya bergantung kepada duit pemberian anak-anak, namun apabila dapat berniaga semula dia nyata lega apabila dapat kembali menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan.

“Sebelum ini, bila tak ada kerja memang pening kepala kerana hanya boleh makan tidur di rumah.

“Tetapi alhamdulillah sekurang-kurangnya adalah duit belanja untuk saya dan isteri apabila keadaan di pantai kembali meriah seperti ini.

“Cuma kalau boleh, saya berharap kerajaan akan turut memberi kelonggaran rentas negeri bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin kerana rata-rata peniaga di kawasan ini banyak bergantung kepada kehadiran orang luar untuk mendapat rezeki lebih,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut mengingatkan pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang Fasa 2 PPN ini.

Katanya, ia bagi mengelakkan kelonggaran yang diberi ditarik semula sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti penularan jangkitan COVID-19 membabitkan pengunjung.

Sementara itu, tinjauan MHI di kedai-kedai makan sekitar Pantai Puteri dan Klebang mendapati masih belum ada peniaga yang membenarkan pengunjung makan di kedai (dine-in) buat masa ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

890
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19: Felda tumpu kawasan pedalaman
Next post COVID-19: Lebih 48,000 peniaga, pekerja divaksin menerusi RiVAC
Ubah saiz-+=