Sorting by

×

‘Fan Bingbing akan berusaha bersungguh-sungguh promosi Melaka’

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 14 Jun – Duta Setiakawan Pelancongan Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Fan Bingbing akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu mempromosikan Melaka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Perkara itu dikongsikan hasil perbincangan selepas menerima kunjung hormat daripada selebriti antarabangsa berpengaruh itu di Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Kata Ketua Menteri, pelantikan Fan Bingbing bukan sahaja mempromosikan pelancongan Melaka dengan China malah mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara dua negara.

“Dia (Fan Bingbing) akan berusaha bersungguh-sungguh menjadikan Melaka sebagai destinasi utama pelancong dari China ke Melaka.

“Ia memandangkan sejarah hubungan diplomatik ini telah terjalin sejak zaman pelayaran kapal Laksamana Cheng Ho lagi.

“Negara juga akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Justeru, Bingbing amat tertarik untuk mewujudkan talian persaudaraan dan menjadi pemangkin kepada ekonomi Negeri Melaka,” katanya.

Terdahulu, Fan Bingbing yang berkebaya merah jambu tiba bersama delegasinya di Pejabat Ketua Menteri kira-kira jam 9.45 pagi.

Sesi kunjung hormat itu turut disertai Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7683
Kongsi :
Previous post Agong berkenan masyhur Masjid Sultan Ibrahim
Next post Penyasaran subsidi diesel: 10 syarikat umum naikkan harga dipanggil beri penjelasan
Ubah saiz-+=