
FAMA MELAKA SASAR NILAI JUALAN RM8 JUTA TAHUN INI
LENDU 1 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka menyasarkan nilai jualan RM8 juta untuk tahun 2025.
Pengarah FAMA Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid berkata, pada tahun lalu nilai jualan yang diperoleh menerusi penganjuran lapan pasar tani di kesemua tiga daerah dalam negeri ini adalah sebanyak RM7.081 juta.
“Lapan Pasar Tani terbabit adalah Pasar Tani Masjid Tanah; Alor Gajah; Lubok China; Merlimau; Jasin; Selandar; Ayer Molek dan Taman Maju.
“Kesemua lapan Pasar Tani ini membabitkan lebih 110 peniaga dan usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Semarak Ramadan 1446H dan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Pasar Tani Peringkat Negeri Melaka di Pasar Tani Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Pada program yang sama, Nor Azhar bersama-sama kakitangan FAMA Melaka turut mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung Pasar Tani terbabit sebagai simbolik menjelang Ramadan.
Mengulas lanjut, Nor Azhar berkata setakat Januari 2025, FAMA telah menerima nilai jualan sebanyak RM318,741.90
“Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 Pasar Tani yang mana ia diwujudkan sebagai medan pertemuan pengeluar kepada pengguna.
“Kita turut harapkan sasaran nilai jualan pada tahun 2025 ini dapat dicapai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.