FAMA Melaka buka sembilan pasar tani pra Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

JASIN 29 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka mengadakan Pasar Tani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sempena pra Aidiladha di sembilan lokasi bagi memudahkan umat Islam mendapatkan pelbagai keperluan persediaan bagi menyambut Aidiladha.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhammad berkata, pasar tani yang mula beroperasi sejak 22 Julai lepas sehingga esok itu juga bertujuan memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Kita juga difahamkan pengguna boleh membuat tempahan secara dalam talian dan mengambil terus pesanan mereka di sembilan lokasi pasar tani ini bagi mengelakkan mereka bersesak di kawasan tumpuan pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Pra Adiladha 2020 di Pasar Tani Jasin, di sini, hari ini.

Beliau berkata pasar tani yang terlibat adalah di Kuala Sungai Baru, Selandar, Lubok Cina, Taman Krubong Jaya, Masjid Tanah, Cheng Baru, Alor Gajah, Bandar Merlimau dan Jasin.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar pasar tani di negeri ini mendapati harga ayam di pasaran telah mulai turun sekitar RM7.80 hingga RM5.80 sekilogram berbanding sebelum ini yang mencecah hingga paras RM9 sekilogram sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat.

Rata-rata pengguna yang ditemui turut melahirkan rasa bersyukur dapat menikmati harga ayam yang berpatutan tambahan pula menjelang perayaan Aidiladha dan ia dilihat meringankan beban mereka terutama yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anggota keluarga.

— BERNAMA

Views:

479
Kongsi :
Previous post Pelbagai insentif bantu koperasi Melaka yang terjejas Covid-19
Next post Cadang pindah Politeknik Melaka ke KUIM
Ubah saiz-+=