FAM teliti 10 nama sebagai pembantu Pan Gon
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata jurulatih berpengalaman tersebut antara 10 calon sedang diteliti Pengarah Teknikal badan induk itu, Scott O’Donell.
Beliau berkata individu yang dilantik akan diketahui selepas ketibaan Pan Gon di Malaysia, memandangkan jurulatih berusia 52 tahun itu ingin berjumpa dengan bakal pembantunya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Selain nama besar, nama kecil, nama panjang dan nama pendek pun ada. Memang ada beberapa calon yang minat untuk jadi pembantu ketua jurulatih dan perkara itu akan dimuktamadkan bila dia (Pan Gon) sampai sebab dia perlu berjump dan menemu bual calon sama ada memenuhi kriteria diinginkan.
“Tetapi nama-nama berkenaan akan disenarai pendek FAM sebelum kita beri kepada dia. Kemudian terpulang kerana dia adalah ketua jurulatih yang akan membuat keputusan siapa dia nak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Saifuddin berkata Pan Gon sendiri menyatakan hasrat beliau untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih tempatan bagi membantunya.
“Pan Gon ada minta FAM calonkan seseorang kerana dia memang nak seorang jurulatih tempatan. FAM tidak mempunyai masalah menyediakannya, kita akan cari yang sesuai. Proses itu akan dikendalikan TD (Pengarah Teknikal) dan beliau juga akan menyediakan nama-nama tersebut,” katanya.
Jumaat lepas, FAM mengumumkan pelantikan Pan Gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya awal tahun ini.
Pan Gon dijangka tiba awal bulan depan bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.
Perkembangan itu mendapat reaksi pelbagai pihak, selain terdapat cadangan supaya kehadiran Pan Gon bersama empat pembantunya itu dilengkapi bantuan jurulatih tempatan yang lebih mengenali landskap bola sepak negara.
Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata FAM menerima dan sedia mempertimbangkan cadangan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya supaya melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan sebagai pengurus pasukan seperti dilaksanakan negara-negara Eropah. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.