Fakta ketibaan Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech di KLIA, esok
AYER KEROH 20 Feb. – Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 jam 10 pagi esok yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).
Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKAV) dalam satu kenyataannya petang ini berkata, perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.
“Vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.
“Vaksin ini (312,390 dos) diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express, yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.
Kenamaan yang akan hadir untuk menyambut vaksin di KLIA termasuklah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
“Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021 lalu.
“Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada 5 pengeluar vaksin COVID-19,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Januari yang lalu untuk pembelian vaksin ini, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.
Malaysia katanya akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 26 Februari 2021.
“Program ini akan bermula dengan suntikan sulung yang akan diterima oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama petugas barisan hadapan,” katanya.
Terdapat tiga peringkat Program Imunisasi iaitu Fasa 1 (Februari – April 2021) melibatkan petugas barisan hadapan; Fasa 2 (April – Ogos 2021) untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi dan Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022) membabitkan penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.