FAHAMI TUGAS SEBELUM LAKSANA PERANCANGAN
SERI NEGERI 4 Februari – Setiap ketua jabatan perlu memahami tugas yang diamanahkan kepada mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang perancangan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad.
Mengulas lanjut Azhar berkata, ia bertujuan memastikan setiap perancangan dapat mencapai 90 peratus skor cemerlang petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan bagi tahun ini.
Malah beliau, turut mengingatkan bahawa setiap penjawat awam juga sudah melafazkan ikar untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya demi rakyat, Negeri Melaka dan negara.
“KPI ini telah ditetapkan supaya mencapai lebih 90 peratus, kita tidak mahu ada ketua jabatan mendapat KPI bawah peratusan itu.
“Acapkali saya berpesan bekerjalah secara amanah, betul dan cepat atau ABC. Kalau kita amanah, betul dan cepat melaksanakan sesuatu kerja, insya-Allah KPI ini boleh dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Amanat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2025 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat, barisan ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan memberikan ganjaran kepada setiap ketua jabatan atau agensi yang berjaya mencapai KPI tersebut.
“Tidak semestinya kita memberikan dalam bentuk bonus, mungkin pengiktirafan, kenaikan pangkat, peluang pergi berkursus, diberikan anugerah dan pelbagai lagi.
“Apa yang penting ialah kepuasan diri, bekerja dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat, khususnya negeri Melaka ini sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.