Exco tolak alasan kenaikan harga ayam, syak ada unsur penipuan
MASJID TANAH 20 Sept – Alasan pengusaha daging ayam mengaitkan kenaikan kos dedak dan upah pekerja tempatan yang mahal dengan kenaikan harga ayam mentah di pasaran sejak sebulan lalu disifatkan tidak masuk akal.
Exco Pengguna Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia sekadar memanipulasi keadaan bertujuan mengaut keuntungan lebih tinggi menyebabkan pengguna menjadi mangsa penipuan.
Malah tegasnya, jika dua perkara itu menjadi alasan, bagaimana beberapa pasar raya di negeri ini mampu menjual ayam mentah siap proses pada harga jauh lebih rendah daripada pasar pagi atau pasar besar.
Menurutnya, pemeriksaan harga ayam mentah di beberapa pasar raya sekitar bandar di negeri ini ia masih dijual pada harga yang lebih rendah sekitar RM5 hingga RM8 sekilogram.
“Baru-baru ini saya pergi sebuah pasar raya di Peringgit yang mana pembekalnya dari Pedas, Linggi dan saya tengok harga ayam dijual baru RM5.30 sekilogram.
“Tapi bila saya pergi pasar raya lain pula ia dijual RM9.80 sekilogram. Ini yang sangat menjadi persoalan besar kenapa harga di dua tempat di Melaka ini begitu jauh nilainya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI)
Serentak dengan itu, Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan ke kilang pembekal ayam di Pedas untuk melakukan siasatan dan mendapatkan maklumat sebenar.
Ini kerana jelas Ismail, kerajaan negeri mahu gambaran menyeluruh daripada pengusaha kilang ayam tersebut memandangkan syarikat itu masih mampu membekalkan ayam pada harga yang lebih rendah untuk pasar raya berkenaan berbanding tempat lain.
“Dari situ, saya harap kita dapat gambaran yang lebih jelas sama ada betul atau tidak kenaikan harga ayam yang didakwa pengusaha ayam sebelum ini berpunca daripada dua sebab itu.
“Setakat ini saya dimaklumkan pengusaha ayam di Melaka tiada pilihan lain selain menaikan harga ayam disebabkan kenaikan kos dedak dan faktor lain.
“Kalau mereka (pengusaha ayam) kata kos upah pekerja tempatan lebih tinggi berbanding pekerja asing, saya rasa bayaran upah sama sahaja, ini semua alasan untuk naikan harga ayam sahaja,” kata beliau.
Ismail pada masa sama turut menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan keperluan lain dalam waktu terdekat ekoran pemeriksaan mendapati terdapat rak jualan yang kosong seperti kekurangan bekalan.
“Keadaan ini membimbangkan saya dan saya khuatir ada unsur sorok barang yang kita percaya akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga tidak lama lagi disebabkan ada permintaan tinggi terhadap barang tersebut.
“Sama juga dengan isu ayam ini, saya dah minta Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PDNHEP) Melaka siasat semula perkara ini.
“Ia terutamanya membabitkan sumber makanan ayam yang didakwa makin mahal kerana saya tidak mahu pihak terbabit sengaja menggunakan alasan ini untuk menaikan harga ayam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.