EXCO nasihat pengusaha restoran viral jangan amalkan budaya ‘kahau’
BANDA HILIR 11 Jun – Susulan isu tular sebuah restoran di Banda Hilir mengeluarkan kata-kata kesat dan mengenakan caj mahal ke atas pelanggan, EXCO Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ngwe Hee Sem telah turun padang bertemu pengusaha terbabit.
Hee Sem berkata, beliau telah menasihati pemilik restoran agar lebih bersopan santun dalam melayan pelanggan, selain tidak mengulangi tindakan tersebut di masa akan datang.
Katanya, dalam pertemuannya tersebut, didapati pemilik restoran dan anaknya memang kelihatan agak kasar dan kerap bercakap dengan suara yang kuat, namun itu bukan bermakna mereka boleh menjadikannya sebagai budaya dalam melayan pelanggan.
“Saya lihat tadi, ibu dan anak ini berborak dan ketawa memang menggunakan suara tinggi (kuat), mungkin mereka sudah biasa begitu dan ada pelanggan tetap juga sudah terbiasa dengan cara mereka.
“Cuma, saya tidak setuju ini dijadikan budaya. Kita tidak mahu disebabkan hal-hal seperti ini akan menjejaskan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.
“Jadi, saya telah menasihati mereka agar tidak lagi mengulanginya dan layanlan pelanggan dengan baik meskipun ada ketidakpuasan hati,” katanya ketika ditemui pemberita di restoran berkenaan, hari ini.
Mengulas mengenai harga yang didakwa mahal dikenakan restoran tersebut, Hee Sem berkata, pihaknya telah meneliti resit yang dikenakan kepada pelanggan dan mendapati harga RM280 yang dikenakan adalah munasabah untuk 10 orang makan.
Justeru, beliau berharap pelancong luar agar tidak serik datang ke Melaka kerana Melaka sentiasa mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke negeri ini.
“Bagi saya, kes ini hanya kes individu, keseluruhan peniaga dan pengusaha kedai makan di negeri ini masih melayan pelanggan dengan baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.