Exco Melaka bantu langsai sewa rumah tertunggak
AYER KEROH 10 Jun – Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem memberi jaminan untuk membantu melunaskan tunggakan rumah sewa ibu tunggal yang menyara lapan anaknya selepas kematian suami.
Hee Sem berkata, beliau akan membantu pembayaran sewa tertunggak berjumlah RM4,000 itu secara bulanan sehingga selesai bagi membantu keluarga berkenaan meneruskan kehidupan.
Katanya, bantuan itu diberikan tatkala mengenangkan kepayahan yang ditanggung Siti Suryati Sani, 41, yang kini menyara lapan anak berusia 11 bulan hingga 15 tahun, selepas kematian suami yang sebelum ini bekerja sebagai paramedik kapal.
“Saya dimaklumkan, kini Siti Suryati bersama lapan anaknya telah berpindah ke rumah arwah bapanya di taman yang sama dengan rumah sewanya sebelum ini.
“Memahami keadaan yang dilalui ibu tunggal itu, saya terpanggil untuk membantu melunaskan tunggakan rumah sewa tersebut secara bulanan dengan memberinya RM1,000 sebulan.
“Saya harap bantuan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung Siti Suryati yang perlu membesarkan lapan anaknya sendiri selepas kehilangan suami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Skuad Perkeso Prihatin di kediaman keluarga itu di Taman Sutera Wangi, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.
Pada majlis tersebut, Hee Sem turut menyampaikan bantuan dan sumbangan faedah pengurusan mayat (FPM) dan bayaran bulanan pencen penakat berjumlah RM1,775.42 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Allahyarham Khirul Azlizam Mohamed@Mohamed Daud, 41 yang merupakan seorang paramedik kapal meninggal dunia 26 Mei lalu di Hospital Melaka akibat sakit jantung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.