Exco kecam tindakan promosi bible di kawasan pelancongan
AYER KEROH 2 Ogos – Exco Pelancongan, warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman meluahkan rasa kesalnya atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab mempromosi bible di kawasan pelancongan.
Abdul Razak dalam satu hantaran di Facebook rasminya mengecam keras tindakan pihak berkenaan yang tidak menghormati sensitiviti agama Islam.
Lebih mengecewakan, beliau berkata, promosi itu dilakukan di hadapan surau warisan berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir, baru-baru ini.
“Saya mengecam keras tindakan ini yang tidak menghormati sensitiviti agama Islam. Jangan melampau dalam membuat apa apa tindakan terutama dalam keadaan kita yang hidup dengan aman dalam Negeri Melaka ini. Hormati agama Islam!, tegasnya.
Tambah Abdul Razak, tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, bahkan boleh menimbulkan fitnah kepada kerajaan, khususnya Kerajaan Negeri.
“Saya dimaklumkan orang awam telahpun menegur dan meminta mereka beredar dari situ.
“Selain itu, dimaklumkan juga pihak polis telahpun menyiasat dan mencari mereka yang mempromosikan bible di hadapan surau ini.
“Saya harap (mereka) segera ditahan dan disiasat. Tiada kompromi!,” katanya.
Baru-baru ini, satu video berdurasi 16 saat tular di laman sosial yang memaparkan tiga individu membuka reruai untuk mempromosikan kursus percuma bible dan aktiviti agama Kristian di depan Surau Warisan, Banda Hilir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.