Evolusi Bazar Ramadan Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

LENDU 19 Mac – Lebih 180 peniaga ditempatkan di Bazar Ramadan Masjid Tanah sekali gus menjadikannya antara bazar terbesar di Melaka pada setiap tahun.

Lokasinya yang strategik terletak betul-betul di Pekan Masjid Tanah membuatkan lokasi itu kekal menjadi tumpuan saban tahun ketika tibanya Ramadan.

Keunikan juadah berbuka dan kepelbagaian makanan yang dijual membuatkan ada pengunjung dari daerah lain, malahan dari luar Melaka sanggup ke bazar berkenaan bagi bersama-sama merasai kemeriahannya.

Penganjur Bazar Ramadan Masjid Tanah, Mohd Amirrul Hazman, 36 berkata, pada tahun ini, Masjid Tanah masih mengekalkan rekod bazar makanan terbesar seperti tahun-tahun sudah.

Katanya, bazar sepanjang lebih 300 meter itu menawarkan pelbagai jenis juadah menarik, bukan sahaja makanan berkonsepkan tradisional bahkan turut menampilkan makanan citarasa moden.

“Pembukaan bazar pada tahun ini mempunyai tarikannya tersendiri di mana 50 peratus daripadanya adalah peniaga lama dan selebihnya disertai peniaga baharu.

“Alhamdulillah, bazar ini masih lagi disenarai antara bazar terbesar di Melaka dan rekod ini dikekalkan sepanjang tahun di mana kita berjaya kekalkan lebih 150 peniaga yang menyertainya setiap kali Ramadan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20240319 001458 953
MOHD AMIRRUL

Menurut Mohd Amirrul, bazar yang antara paling lama beroperasi itu kini mengorak langkah dalam pendigitalan di mana hampir 70 peratus peniaga telah menyahut seruan kerajaan dengan memperkenalkan sistem tanpa tunai.

“Kita akan gerakkan lagi buat peniaga di kawasan ini untuk mentransformasikan kaedah sistem tanpa tunai ini bagi memudahkan urusan jual beli menggunakan perkhidmatan e-wallet seperti aplikasi Touch ’N Go.

“Setakat ini ramai peniaga masih keliru dengan penggunaan sistem e-wallet dan sistem QR daripada bank, jadi kita akan cuba fahamkan mereka dengan penggunaan aplikasi ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3962
Kongsi :
Previous post Bantuan perumahan rakyat memerlukan diteruskan
Next post Ramadan Maidatur Rahman kongsi rezeki dengan orang ramai
Ubah saiz-+=