Eskpo pendidikan capai objektif, perlu dianjur setiap tahun
AYER KEROH 19 Jun – “Ekspo seperti ini wajar dijalankan setiap tahun, ia amat membantu bukan sahaja pelajar malah ibu bapa itu sendiri,” kata pengunjung Ekspo Pendidikan Melaka 2022, Rahimah Abd Rahim, 46.
Dia yang mengetahui penganjuran ekspo ini melalui laman sosial berkata, dengan lebih 10 pempamer yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta ia adalah satu peluang yang tidak patut dilepaskan dan perlu dikunjungi oleh ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, dengan ruang seperti itu banyak maklumat dan kesesuaian sesuatu bidang itu dapat diketahui berbanding dengan hanya mencari dan memperoleh informasi daripada laman sosial tanpa ada penjelasan lanjut.
“Ekspo ini memang bagus dan mudah untuk kita lakukan pilihan malah penjelasan yang diberikan oleh pensyarah atau wakil institusi juga jelas.
“Ada juga ibu bapa yang tidak berapa faham dan apabila kita datang ke sini semuanya sudah tersedia dan kita boleh suarakan atau tanya apa sahaja yang menjadi persoalan,” katanya.
Sementara itu, bagi pelajar lepasan SPM Nur Adilah Yahya, 18, berkata, penganjuran ekspo pendidikan amat membantu bekas pelajar sepertinya untuk mencari bidang yang sesuai dengan kelulusan diperoleh untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
“Saya belum memohon apa-apa lagi, hari ini ayah bawa untuk lihat kursus dan bidang apa yang bersesuaian dengan kelulusan serta apa yang saya minat.
“Penerangan yang diberikan oleh wakil institusi juga amat jelas malah saya turut diberitahu kemana hala tuju atau peluang pekerjaan apa yang akan dapat diceburi selepas tamat pengajian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.