Sorting by

×

ERATKAN HUBUNGAN TENTERA DAN RAKYAT MELALUI SUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Februari -Penganjuran Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 merupakan antara medium terbaik dalam mengeratkan lagi hubungan antara tentera dan orang awam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin yang juga pengerusi penganjur bersama kejohanan berkata, sepanjang berlangsung karnival bermula 18 Januari lalu, keakraban antara tentera dan masyarakat setempat dapat dilihat dengan jelas.

“Penganjuran julung kali diadakan hasil daripada cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mencapai matlamatnya. Malah bagi memastikan ianya direalisasikan dengan sebaiknya beliau beberapa kali turn Padang untuk melihat sendiri perjalanan karnival.

“Saya lihat ada ‘synchronization’ antara tentera dan juga orang awam, malah apa yang kita mahukan biar semua lapisan masyarakat boleh bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tanjung Bidara Berselawat yang dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz, di perkarangan letak kenderaan Pantai Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Majlis ilmu itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Yang turut hadir adalah pegawai kanan Tentera Darat Malaysia iaitu Panglima Divisyen Ke-3 Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohammad Suria Mohmmad Saad, Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Khairul Anwar Soib dan Kamander Artileri 3 Divisyen, Brigedier Jeneral Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian.

Menurut Rais, sepanjang tiga hari berlangsungnya majlis penutup karnival pelbagai program akan berlangsung di Pantai Tanjung Bidara termasuklah sukan rakyat dan persembahan daripada beberapa penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Amy Search serta Zamani.

“Menariknya sukan rakyat melibatkan pertandingan tarik tali dan dam aji yang akan bermula pada Sabtu dan kemuncak pada sebelah malam pula persembahan nyanyian.

“Manakala pada Ahad pula, seawal pagi akan bermula larian dan dimaklumkan penyertaan lebih 1,200 orang yang terbahagi kepada beberapa kategori,” katanya.

Jelasnya, lebih menarik lagi sebanyak lima buah motosikal menanti pengunjung dan warga tentera yang bertuah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

255
Kongsi :
Previous post TANJUNG BIDARA BERSELAWAT TERIMA SAMBUTAN LUAR JANGKAAN
Next post ATLET PARA BANGGA DAPAT HARUMKAN NAMA MELAKA