Era baharu hubungan Melaka – Pulau Pinang

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

GEORGETOWN 13 Jun – Agensi dan jabatan berkaitan pelancongan Melaka dan Pulau Pinang diminta merangka strategi untuk mewujudkan kerjasama memang-menang dalam usaha memperkasakan lagi sektor pelancongan di kedua-dua negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Melaka dan Pulau Pinang bandar pinggir Selat Melaka yang dibangunkan sebagai pusat perdagangan serta penempatan sejak 500 tahun lalu berkongsi banyak persamaan khusus daripada aspek sejarah.

Beliau berkata, pelancongan menjadi antara sumber utama kedua-dua negeri berikutan itu perkongsian pengetahuan dalam bidang itu amat penting.

“Melaka dan Georgetown bagaikan adik-beradik yang walaupun berjauhan tetapi jiwa dan warisan yang dekat. Sesungguhnya, kedua-dua bandar raya ini mengharapkan kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

“Sektor pelancongan di kedua-dua bandar raya ini membangun dengan pesat sekali, pada masa yang sama, kita saling memerlukan perkongsian pengalaman terutama dalam bidang pengurusan pemuliharaan dalam jangka masa panjang supaya warisan kita terus terpelihara dan terpulihara dalam arus pembangunan
moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Pelancongan Melaka 2022 dan Sesi PadananNiaga, Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022 di Pulau Pinang.

Turut hadir pada majlis itu rakan sejawatannya Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, EXCO Pelancongan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, pegawai kanan dan ketua jabatan kedua-dua negeri.

Dalam ucapannya Sulaiman turut memberikan penekanan kepada penerbangan Malindo Air (kini Batik Air) akan memulakan operasi bagi sektor Melaka-Pulau Pinang selepas Indonesia atau Pekanbaru, Indonesia mula membuka ruang udara antarabangsa.

“Harapan saya adalah apabila penerbangan antara Melaka-Pulau Pinang bermula, kita sudah bersedia dengan pakej pelancongan dua hala,” katanya.

Menurutnya delegasi Melaka melibatkan agensi-agensi penggiat pelancongan, pengusaha hotel, produk inap desa, produk eko-pelancongan dan pengusaha beca Melaka diminta melawat produk pelancongan terkemuka di Pulau Pinang.

Katanya, kesempatan yang ada perlu dimanfaatkan untuk menuntut ilmu dan menimba pengalaman agar selepas ini mereka boleh menyusun strategi baru, berfikir dan bertindak diluar kotak ke arah pembangunan industri pelancongan di Melaka.

“Sesungguhnya kita perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan pengetahuan untuk terus memajukan diri. Dalam konteks ini, saya sangat positif dan terbuka untuk menimba ilmu dan pengalaman di mana sahaja termasuk di Pulau Pinang ini.

“Di kesempatan ini saya mempelawa delegasi Kerajaan Pulau Pinang khususnya Ketua Menteri untuk mengadakan lawatan balas ke Melaka pula untuk kita bersama-sama membangunkan sektor pelancongan Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Sains, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Melaka-Georgetown,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1257
Kongsi :
Previous post Sulaiman, Kon Yeow bincang hala tuju pelancongan Melaka- Pulau Pinang
Next post Sulaiman solat berjemaah di masjid bersejarah Pulau Pinang
Ubah saiz-+=