Enjin rosak, nelayan terkandas lebih 10 jam
TELOK MAS 27 Jun – Seorang nelayan diselamatkan selepas lebih 10 jam terkandas di Pulau Menatang, di sini, pagi ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Sembilan dan Melaka Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa yang berusia 52 tahun itu, kira-kira jam 11.10 malam tadi.
Beliau berkata, laporan itu dibuat oleh pengerusi persatuan nelayan yang khuatir rakan mereka hilang ketika keluar menangkap ikan di kedudukan 0.6 batu nautika tenggara Pulau Menatang.
“Selepas menerima laporan itu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) menerusi ‘Maritime Rescue Sub Centre’ (MRSC) Johor Bahru pada jam 11.40 malam.
“Manakala bot Benteng 04 pula ditugaskan untuk membuat pencarian awal di lokasi kejadian namun tiada sebarang penemuan ditemui,” katanya.
Menurutnya, Pangkalan Hadapan CARILAMAT juga ditubuhkan di Jeti Sungai Punggur selepas operasi diaktifkan.
“Memasuki hari kedua OP CARILAMAT bot mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 8.30 pagi tadi oleh orang awam di beting Pulau Menatang.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dialaminya.
“Daripada keterangan mangsa, bot dinaikinya mengalami kerosakan enjin sebelum terkandas di atas beting,” Katanya.
Iskandar berkata, sepanjang tempoh pencarian itu seramai 76 orang anggota membabitkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Marin dengan kekuatan 13 aset sebelum operasi ditamatkan pada jam 10 pagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.