Enam taska, pusat jagaan gagal patuh syarat

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Sebanyak enam Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dan Notis Arahan Kerja (NAK) dikeluarkan terhadap pemilik premis pusat jagaan dan taska beroperasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.

Notis atas pelbagai jenis kesalahan itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hasil Operasi Bersepadu Premis Pusat Jagaan/Taska di kawasan pentadbiran MBMB, Selasa lalu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, menerusi operasi berkenaan pihaknya memeriksa tujuh premis dan enam dikesan gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Skop pemeriksaan merangkumi syarat kesihatan seperti penyediaan dan pengendalian makanan, syarat bangunan daripada segi semakan permit bangunan, pencahayaan, pengudaraan serta kerosakan bangunan.

“Pemeriksaan turut membabitkan kebersihan persekitaran premis, kemudahan sanitasi seperti bekalan air minum, tandas, pengurusan sampah, kawalan serangga perosak selain semakan pematuhan bagi Sijil Audit Pematuhan Alam Sekitar (SAPAS).

“Kami juga melihat pematuhan syarat-syarat lesen dan pematuhan Akta Pusat Jagaan 1993 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, selain pemeriksaan MBMB turut memberikan khidmat nasihat kepada pengusaha daripada segi keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta penghuni Pusat Jagaan.

“Khidmat nasihat ini bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan, seterusnya dapat mengelakkan berlakunya sebarang kemudaratan atau kecederaan serta penyebaran penyakit berjangkit,” katanya.

Operasi itu diketuai Jabatan Kesihatan Persekitaran MBMB bersama Jabatan Kawalan Bangunan (JKB), Jabatan Penguatkuasaan (JPK), Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah (PKDMT) dan JKM Daerah Melaka Tengah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post YESS medium lahir usahawan muda
Next post Iktiraf peranan koperasi sekolah
Ubah saiz-+=