Sorting by

×

Enam kenderaan rosak ditimpa pokok tumbang

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR GAJAH 27 April – Hujan lebat dan angin kencang yang melanda daerah Alor Gajah petang tadi menyebabkan enam kenderaan rosak akibat ditimpa pokok tumbang.

Selain itu, sebanyak 50 buah rumah turut mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat bencana alam itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, sebanyak empat lokasi terjejas dengan insiden pokok tumbang itu, antaranya Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Sungai Petai ke Rembia.

Selain itu, jelasnya, ia turut membabitkan kawasan jalan hadapan Japerun Rembia, Kawasan Industri Kelemak dan Kampung Lendu Tengah.

“Kejadian berlaku di antara jam 4 hingga 4.40 petang tadi yang mana sebanyak enam buah kenderaan mengalami kerosakan akibat di hempap pokok.

“Kenderaan terlibat ada yang sedang diparkir dan ada juga yang sedang dipandu ketika melalui jalan tersebut.

“Namun ia tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Arshad, sebanyak tiga agensi kerajaan terlibat dalam kerja menyelamat itu iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

Tambahnya, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah turut terlibat dalam melakukan kawalan lalu lintas di lokasi terlibat.

“Polis menasihati orang ramai khususnya pengguna jalan raya agar berhati-hati memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu terutama di waktu petang,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6667
Kongsi :
Previous post Pembinaan semula LCS selepas kontrak tambahan dimuktamad – Panglima Tentera Laut
Next post Kompaun RM250 hingga RM500 jika dicekup buang sampah – MBMB
Ubah saiz-+=