Enam beradik yatim piatu terima sijil kelahiran
TANGGA BATU 9 Jun – Keceriaan jelas terpancar di wajah enam beradik yatim piatu di Kampung Tangga Batu apabila akhirnya mereka diberikan sijil kelahiran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mereka ialah Nul Azizah Rosani Saman yang berusia 14 tahun serta lima adiknya, Ahmad Baharom, 13, Azrul,12, Khalid,11, Mohd Said Maulidin, 8, dan Siti Khadijah, 6, yang kini berstatus warganegara Malaysia yang sah.
Sijil kelahiran itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sekali gus memudahkan urusan enam beradik itu dalam mendapatkan akses pendidikan selepas ini serta MyKad dan MyKid.
Menurut Sulaiman keenam-enam beradik itu tidak pernah dipinggirkan, malah terus mendapat perhatian ramai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan sendiri.
“Saya difahamkan awal tahun dahulu memang Datuk Azman selaku ADUN ketengahkan perkara ini, cuma ia mengambil masa.
“Tidak ada masalah sama ada mereka ini tertinggal atau terbiar, ramai orang-orang di sini yang bantu termasuk saudara mara walaupun mereka tiada ibu bapa.
“Saya yakin dengan adanya sijil kelahiran ini mereka tidak akan hadapi masalah terutama dalam mendapatkan bantuan mahupun pendidikan.” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat enam beradik yatim piatu itu di sini, hari ini.
Hadir sama, Nor Azman dan Pengarah JPN negeri, Norazlee Sulaiman
Pada masa sama, Sulaiman sedang berusaha untuk membina sebuah rumah baharu membabitkan kos kira-kira RM40,000 buat enam beradik tersebut.
“Saya dengan pihak Lembaga Perumahan Melaka (LPM) cuba dapatkan rumah untuk mereka…ada cadangan diutarakan supaya mereka ini dapat rumah yang sedikit selesa seperti di Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dan Tehel.
“Tetapi setelah berbincang dengan Datuk Azman PPR itu jauh dan mereka tak boleh berpisah dengan keluarga di sini.
“Maka saya cadang selesaikan urusan tanah di sini dan saya minta pihak LPM untuk bina kediaman baharu buat mereka, kos bina rumah kira-kira RM40,000 yang mempunyai tiga bilik tidur,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memastikan anak-anak tersebut tidak ketinggalan dalam mendapat pembelaan serta tidak ketinggalan dalam arus pembelajaran.
“Mereka dah ada sijil kelahiran jadi mana yang boleh bersekolah kita akan masukkan mereka apabila sekolah mula dibuka nanti,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam catatan di Facebook rasminya, Sulaiman berkata, beliau amat tersentuh selepas dimaklumkan kisah enam beradik yatim piatu itu yang diibaratkan seperti “digantung tidak bertali”.
“Selepas kematian kedua ibu bapa, mereka pula berdepan masalah tidak memiliki sijil kelahiran menyebabkan tidak dapat bersekolah.
“Kehadiran saya pada hari ini diharap dapat membawa khabar gembira untuk adik Nul Azizah, Ahmad Baharom, Azrul, Khalid, Mohd Said Maulidin dan Siti Khadijah, yang mana saya dapat menyerahkan sendiri sijil kelahiran mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Baharom meluahkan rasa syukur apabila mereka enam beradik akhirnya mendapat sijil kelahiran hari ini.
“Alhamdulillah akhirnya kami terima sijil kelahiran ni, dapatlah saya dan adik-adik sekolah.
“Sebelum ni rasa sedih sangat tak dapat pergi sekolah, ditambah pula tengok orang lain semua ke sekolah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.