Sorting by

×

Empat tonggak asas ‘Wahdatul’ kesatuan membentuk kerajaan makmur – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 3 Mac – Empat tonggak asas wahdatul kesatuan menjadi kekuatan kerajaan negeri dalam usaha menuju era baharu ke puncak kemajuan dan kemakmuran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, empat tonggak asas tersebut adalah wahdatul fikr, Wahdatul Qalb, Wahdatul Amal dan Wahdatul Qiyadah.

Katanya, kesemua empat wahdatul kesatuan terbabit penting dalam membina sebuah kerajaan yang kukuh, kuat dan stabil.

“Pertama adalah, semangat ‘Wahdatul Fikr’, atau disebut juga sebagai ‘Wahdatul Hadaf’, bermaksud Kesatuan Matlamat, demi menjulang Melaka menuju era baharu.

“Keduanya adalah ‘Wahdatul Qalb’ iaitu kesatuan hati, kejituan tekad dalam melaksanakan segala janji, harapan dan juga pelan tindakan yang akan, sedang serta telah direncana selama ini.

“Jangan jadi seperti sebelum ini ada isu lompat melompat, ugut mengugut, ancam mengancam dan apa juga sifat mazmumah yang mengundang ketidakstabilan politik, jika itu berlaku bagaimana kita hendak tarik pelabur ke negeri ini?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Sulaiman berkata, bagi menarik pelabur ke negeri ini, Melaka perlu kekal menjadi sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan mengamalkan dasar yang kukuh.

“Ketiga’Wahdatul Amal’ atau kesatuan tindakan. Ini penting bagi membina sebuah Kerajaan yang kukuh, kuat, stabil selain memudahkan kita membantu rakyat,
menjaga kebajikan dan dalam masa yang sama dapat merancakkan kemajuan negeri.

“Terakhir pula, kita juga perlu ada,‘Wahdatul Qiyadah’ iaitu kesatuan kepimpinan, bertindak bersama, melaksana bersama, menuju matlamat yang sama, demi menjamin kestabilan,
kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Melaka seluruhnya,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1043
Kongsi :
Previous post 91 peratus kes BID tidak tahu dijangkiti COVID-19 – Khairy
Next post Pembangkang boleh bantu kerajaan tunai manifesto – Sulaiman
Ubah saiz-+=