Empat perkara wajib dilaksanakan penjawat awam di Melaka – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 4 April – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menggariskan empat pendekatan baharu termasuk penghayatan nilai-nilai Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri bagi melancarkan pentadbiran Melaka.

Dalam kenyataan Facebook rasminya, Ab Rauf berkata ketika mengadakan perjumpaan pertamanya bersama pegawai-pegawai kanan pentadbiran Kerajaan Negeri, beliau menggariskan beberapa perkara termasuk pendekatan baharu yang wajar dipraktikkan berkuat kuasa hari ini.

Katanya, ketetapan baharu itu adalah selari dengan penghayatan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam selain memupuk rasa kecintaan kepada agama, negara serta bangsa .

“Empat perkara itu adalah setiap jabatan mahupun agensi di bawah Kerajaan Negeri wajib memulakan setiap mesyuarat dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

“Selain itu, semua kakitangan wajib memperdengarkan bacaan Surah Al-Fatihah pada jam 8 pagi setiap hari bekerja bermula Isnin hingga Jumaat.

“Turut wajibkan, nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya diperdengarkan pada jam 10 pagi setiap hari Isnin.

“Semua kakitangan diarahkan untuk berdiri hormat ketika lagu tersebut dimainkan,” tulisnya.

Selain itu, Ab Rauf turut menguat kuasakan larangan membawa telefon bimbit ke dalam mesyuarat terutama membabitkan mesyuarat bertaraf rahsia atau sulit yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan kerahsian maklumat kerajaan.

“Marilah terus bekerja bersama dan Kerajaan Negeri Melaka membawa era baharu negeri yang lebih dinamik, maju dan makmur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1987
Kongsi :
Previous post Pengumuman agihan dividen TH tahun ini dijangka lewat
Next post Peruntukan RM700,000 pasang lampu warna-warni – MBMB
Ubah saiz-+=