Empat pelajar PMM terima bantuan Dermasiswa B40 TVET

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MERLIMAU 8 Ogos – Empat pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dari kumpulan B40 dipilih sebagai penerima bantuan menerusi Program Dermasiswa B40 TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang julung kali diadakan tahun ini.

Pengarah PMM, Norizam Sekak berkata menerusi anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu setiap pelajar terpilih akan menerima bantuan berjumlah RM4,580 bagi setiap semester.

“Pemberian dermasiswa ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar, mereka juga tidak perlu membayat balik bantuan diterima selepas tamat pengajian.

“Dermasiswa yang pertama kali diperkenalkan ini merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada golongan muda terutama dalam kalangan B40,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, antara penerima Program Dermasiswa B40 TVET, Nur Hushameer Ezwin, 18, berkata bantuan kewangan yang diterimanya itu menjadi penyuntik semangat dalam meneruskan pelajaran.

“Saya mendapat tahu mengenai berita gembira ini daripada pensyarah, ahlhamdulillah, syukur sangat. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban malahan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang semester ini,” katanya yang merupakan pelajar Jurusan Diploma Pengurusan Pelancongan.

Kegembiraan turut dikongsi Pelajar Jurusan Diploma Geomatik, Nurulkartika Ab Karim, 18, mengganggap bantuan diterima mampu membantunya untuk lebih fokus dalam pelajaran.

“Bantuan ini bukan sahaja memudahkan saya sebagai pelajar, namun ia juga membantu meringankan bebanan ibu bapa saya,” katanya.

Untuk rekod, Program Dermasiswa B40 TVET adalah program yang diunjurkan kerajaan menerusi peruntukan kewangan sebanyak RM36.41 juta bagi setiap ambilan 1,000 pelajar seluruh negara.

Program tersebut ditawarkan kepada pelajar yang berkelayakan tertakluk kepada kelulusan KPT tanpa perlu pelajar memohon.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

271
Kongsi :
Previous post SUKMA XXI: Melaka bertanding 34 acara sukan
Next post 10 SRA JAIM terima komputer baharu
Ubah saiz-+=