Empat peguam pemerhati dibenar ikuti prosiding bicara kes aniaya Bella
KUALA LUMPUR, 20 April – Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan empat peguam dilantik oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk bertindak sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat memaklumkan bahawa beliau dan tiga lagi peguam telah dilantik untuk menjadi peguam pemerhati bagi pihak Bella.
“Kami mohon untuk hadir bagi mengikuti perbicaraan kes ini dengan persetujuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun selepas beliau (Rina) menghadap Tunku Mahkota Johor semalam.
“Kami juga akan memohon untuk hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) bagi pihak anakanda Bella selain memohon mendapatkan transkrip rakaman mahkamah (CRT) untuk meneliti perbicaraan sebelum ini,” kata peguam itu.
Selain Khairul Anwar, tiga lagi peguam pemerhati itu ialah Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.
Sementara itu, Izralizam juga akan mempertimbangkan permohonan peguam berkenaan bagi mendapatkan CRT.
Semalam, Tunku Ismail berkenan mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan seperti kes Bella tidak lagi berulang selepas mengadakan pertemuan dengan Rina di Royal Johor Polo Club di Johor Bahru.
Kes Bella tular di media sosial tahun lepas, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.
Susulan itu, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Wanita itu, yang kini dibicarakan atas pertuduhan tersebut didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Turut hadir pada prosiding hari ini Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara.
Sementara itu, Khairul Anwar dalam kenyataan medianya hari ini menzahirkan rasa syukur selepas mahkamah membenarkan permohonan untuk menjadi peguam pemerhati bagi pihak Bella.
“Pihak kami juga mempertimbangkan untuk terlibat dengan lebih aktif dalam prosiding ini dengan membuat permohonan sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) sebaik kami menerima dokumentasi lengkap dan rekod perjalanan kes sebelum ini.
“Ia penting bagi kami untuk membantu pihak mahkamah dan pendakwa raya dalam mencapai keadilan buat anakanda Bella,” kata peguam itu.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.