Empat Mahasiswa UTeM rangkul anugerah di WorldSkills Malaysia 2021

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 Dis – Empat mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berpeluang mewakili Malaysia ke pertandingan WorldSkills Shanghai 2022 di China, pada 12 hingga 17 Okt tahun hadapan.

Pemilihan empat pelajar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dijangka dilakukan selepas semua mereka merangkul empat anugerah pada Anugerah Kecemerlangan WorldSkills Malaysia 2021, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM Prof Dr Ghazali Omar berkata, pertandingan itu merupakan pengalaman besar buat keempat-empat penuntut daripada FTMK UTeM mempamerkan kemahiran dan kepakaran mereka.

“Kemenangan ini sekali gus menzahirkan bahawa mahasiswa UTeM atau dikenali dengan TUAH UTeM mempunyai pakej kemahiran dan kompetensi tinggi dalam bidang dipelajari selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

“Keempat-empat pelajar ini berpeluang untuk menjalani ujian saringan sebelum melayakkan diri menjadi peserta mewakili Malaysia ke WorldSkills Competition Shanghai 2022 yang akan diadakan pada 12 hingga 17 Okt 2022 di Shanghai National Exhibition and Convention Center,” katanya.

ZI Lun (atas kiri), Muhammad Najmi (atas kanan), Jian Wei (bawah kiri) dan Wan Muhammad Khairuddin (bawah kanan) merangkul anugerah dalam WorldSkills Malaysia University Challenge 2021.

Empat mahasiswa tersebut adalah Low Zi Lun dari jurusan Diploma Teknologi Maklumat bersama penyelianya yang merupakan pensyarah kanan FTMK, Yahya Ibrahim menjadi johan bagi kategori ‘VirtualSkills Malaysia’ bidang ‘IT Software Solution for Business’.

Sementara itu, Muhammad Najmi Rosli dari jurusan Diploma Teknologi Maklumat bersama penyelianya yang juga merupakan pensyarah kanan FTMK, Shahril Parumo meraih naib johan kategori sama dalam bidang Web Technologies.

Diikuti Chia Jian Wei pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer) bersama penyelianya Prof Dr Mohd Faizal Abdollah berjaya memenangi pingat Perak bagi kategori III Khabarovsk International Skills Competition untuk bidang IT Network System Administration.

Manakala Wan Muhammad Khairuddin Wan Ab Karim, pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) bersama penyelianya Dr Mohd Zaki Mas’ud turut memenangi pingat Perak bagi kategori WorldSkills Malaysia University Challenge 2021 untuk bidang Cybersecurity.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1564
Kongsi :
Previous post PSH Melaka hospital Asia pertama guna teknologi robotik tahun depan
Next post 312 meteor Geminids dilihat dengan jelas di Pulau Pinang
Ubah saiz-+=