Empat lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Empat kluster baharu COVID-19 dikenal pasti iaitu Kluster Jalan Meru di Selangor,  Kluster Joo Hwa di Sabah, Kluster Selasih di Putrajaya dan Kluster Bah Ketil di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Jalan Meru dikenal pasti di Klang dengan kes indeks kluster itu (iaitu kes ke-11,148) melibatkan lelaki tempatan berumur 30 tahun, yang mula bergejala sejak 24 Sept.

“Beliau dikesan positif pada 29 Sept dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti melibatkan warga tempatan bagi kluster ini.

“Kontak rapat sedang dikenal pasti dan saringan sedang dirancang oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Berhubung Kluster Joo Hwa yang dikenal pasti di Tawau, Dr Noor Hisham berkata kluster itu melibatkan kes indeks (iaitu kes ke-10,273) seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.

Dalam pada itu, terdapat 20 kes positif yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kumulatif kes kematian kekal 136.

Memperincikan pecahan kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata Sabah kekal mencatat kes tertinggi dengan 118 diikuti Kedah (98 kes), Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing 13 kes, Johor dan Putrajaya masing-masing lima kes, Terengganu dan Perlis masing-masing dua kes manakala Melaka, Pahang dan Pulau Pinang masing-masing satu kes.

Bagi kes import, ia melibatkan individu bukan warganegara yang pulang dari United Kingdom di Kuala Lumpur.

Perkembangan kes hari ini ternyata membuahkan kebimbangan kerana ketika negara mencatat kes tertinggi pada 4 Jun, sebanyak 270 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil manakala yang membabitkan penularan tempatan hanya empat kes.

“Bilangan kes ketiga tertinggi pula dicatat pada 26 Mac iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1 iaitu sebanyak 235 kes yang terdiri daripada 27 kes import dan 208 kes penularan di dalam negara yang melibatkan 157 kes warganegara Malaysia dan 51 bukan warganegara,” katanya.

Justeru katanya, dengan pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah yang akan berkuat kuasa mulai 3 hingga 16 Okt serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah, ia akan membantu mengawal situasi penularan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Pada masa sama, KKM dan agensi berkaitan akan berusaha sedaya-upaya bagi mengawal penularan COVID-19 di seluruh Malaysia. Kerjasama semua pihak adalah amat-amat diperlukan,” katanya.

– BERNAMA

Views:

246
Kongsi :
Previous post COVID-19: Aktiviti KM, Setiausaha Kerajaan Melaka dan ahli MMKN dihentikan serta-merta
Next post COVID-19: 260 kes dicatat hari ini, kedua tertinggi sejak pandemik landa negara
Ubah saiz-+=