Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

JOHOR BAHRU, 23 Julai — Sebanyak empat unit kedai di tingkat satu Terminal Larkin Sentral, di sini terbakar, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.50 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 30 anggota.

Beliau berkata kebakaran di premis jenis kekal itu melibatkan dua kedai buku yang musnah 90 peratus, satu kedai minyak wangi (70 peratus) serta satu kedai kosmetik dan herba (10 peratus).

“Operasi pemadaman sedang dilakukan kerana masih terdapat bara di beberapa kawasan terjejas dan kita mahu memastikan api tidak merebak ke kawasan lain. Kebakaran tidak melibatkan mangsa disebabkan waktu kejadian masih belum ramai orang dan penumpang bas berada di terminal bawah.

“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kedai buku, sebelum merebak ke tiga kedai lain dan kebakaran menjejaskan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 640 premis perniagaan yang terdapat di terminal ini,” katanya kepada pemberita di terminal berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat.

Ahmad Mukhlis berkata pihak pengurusan Terminal Larkin Sentral memaklumkan operasi perkhidmatan bas ekspres tidak terjejas dan akan beroperasi seperti biasa, manakala premis yang tidak terlibat dengan kebakaran akan kembali dibuka secara berperingkat.

“Operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana melibatkan kawasan dalam lot kedai, jadi perlu lebih berhati-hati. Ada kawasan terjejas turut melibatkan loteng yang runtuh,” katanya sambil menambah nilai kerugian masih disiasat.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) akan memberi sumbangan kecemasan berjumlah RM5,000 kepada peniaga yang premis mereka terjejas dalam kebakaran berkenaan bagi mengurangkan beban kerugian.

“Selain sumbangan kecemasan, kerajaan negeri juga akan cuba bantu mereka yang terlibat menerusi pemberian geran ataupun pinjaman perniagaan. Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) juga akan datang untuk sama-sama membuat penilaian kos kerugian.

“Saya ucapkan terima kasih kepada bomba yang dapat mengawal kebakaran dengan pantas agar tidak merebak ke kawasan lain dan juga pihak polis yang berjaya mengawal keadaan di terminal ini daripada menjadi kecoh,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1546
Kongsi :
Previous post Trio Kata Wanita sumbang gangsa ketiga Malaysia
Next post Lebih banyak kejohanan sukan berprestij diadakan di Melaka
Ubah saiz-+=